-
Apr20
Awaklah Munirah!
No CommentsAssalamualaikum =)
Saya diserang penyakit misteri (kerana ketiadaan XTRASHARP agaknya), pening dan loya semenjak Khamis hingga Sabtu. Menjelang Ahad, Alhamdulillah, saya beransur sihat. Mimpi yang pelik mengganggu beberapa malam kebelakangan ini, saya banyak termenung dan berfikir. Kadang- kadang sedih. Khuatir sekiranya sesuatu yang tidak baik berlaku. Harapnya Allah memudahkan perjalanan hidup ini, amiin.
Mungkin apa yang merunsingkan saya mungkin sekali berkenaan dengan jawapan temuduga yang saya jalani pada Mac lalu. Mengikut jangkaan, jawapan akan diberikan kepada calon yang berjaya pada akhir bulan ini. Saya gusar, walhal ayah yakin yang saya berjaya di dalam temuduga itu. Sukarnya apabila meningkat dewasa, kebolehan membuat keputusan seakan-akan semakin pudar dan samar. Segalanya bergantung kepada bagaimana kita mahu masa depan kita kelihatan. Indah, mewah, sayup atau sepi? Seakan-akan janggal apabila apa yang kita yakin dapat dilakukan, apa yang kita mahukan, seolah-olah terlepas dari genggaman hanya dengan kejumudan akal yang berlaku barang sedetik cuma. Kemampuan menghasilkan keputusan yang tepat, tidak semudah membayangkan masa depan yang penuh dengan warna-warni. Kata-kata akhir yang dikeluarkan mugkin menjadi penyelamat atau pemusnah. Jadi bagaimana? Selarikah akal bertindak dengan rintihan jiwa yang mentah? Sanggupkah nafsu ditundukkan lalu mengharung onak dan badai?
Saya masih menganggap diri sebagai pelajar yang serba kekurangan; belajar dari pemerhatian, memantau dari firasat hati, sambil berjalan dan kadang-kadang berlari. Saya jatuh. Saya luka dan menangis tetapi saya sedar, pengalaman inilah yang akan mendewasakan saya. Mungkin barangkali saya sudah dianggap dewasa oleh teman-teman seusia, kawan-kawan ayah dan ibu, namun, jauh di sudut hati, saya masih ingin menjadi normal; seorang remaja yang berusia 22 tahun, yang tidak mahu terlalu cepat belajar mengenai hidup. Tapi saya tidak tahu mengapa, saya rasakan yang terlalu banyak perkara yang ingin saya lakukan, terlalu berat agenda yang saya susun, terlalu cepat masa berlalu.. Saya harus menjadi dewasa, walaupun hati nakal saya memujuk untuk memperlahankan langkah, berhenti berehat, jalan-jalan, makan-makan..
Kadang-kadang saya rasakan tanggungjawab yang saya pikul sebagai seorang anak, seorang wanita, seorang usahawan Muslim, dan seorang hamba kepada yang Maha Kuasa, adalah pendorong kepada semangat dalaman ini. Saya hanya seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, anak yang kadang-kadang agak degil, wanita yang tidak suka mengikuti fesyen terkini, usahawan yang cuba memberikan yang terbaik dan hamba yang sentiasa terleka, kadang-kadang alpa dibuai masa. Namun, di dasar hati, saya ingin berjaya secepat mungkin. Saya mahu kejayaan dan limpahan rezeki ini berterusan di bawah redha dan rahmatNya, agar saya dapat dan sempat menabur bakti dengan sangat-sangat sebagai seorang anak, wanita, usahawan dan hamba terhadapNYa. Mungkin inilah azam yang secara tidak lansung telah mendewasakan saya. Mungkin.
Tidak adil bagi saya memaksa diri untuk bekerja terlalu keras. Tapi apa yang penting, dengan doa yang saya panjatkan ke hadrat Ilahi, saya mohon agar saya dapat membuat keputusan yang baik dalam kehidupan, agar dengan keputusan-keputusan ini, saya dapat mengecapi kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup. Redha dengan setiap ujian. Tabah dengan setiap dugaan, insya-Allah.
Walaubagaimanapun, hari ini, alhamdulillah, pertemuan USAHANITA berjalan lancar. Gembiranya saya apabila dapat bertemu dengan ramai sahabat-sahabat usahawan yang baru dan mendaftar sebagai ahli. Juga beberapa sahabat ibu yang dengan girangnya memeluk saya sambil berkata, ‘Awaklah Munirah!’ sambil tersenyum riang dan memuji-muji kecomelan cupcakes saya. Aish.. Berbunga-bunga hati
Bunyi macam berpotensi menjadi calon menantu je
Tapi mungkin, dengan jeans lusuh dan sneakers nike usang itu tidak melayakkan saya terampil sebagai calon menantu pilihan barangkali. Hahaha. Ada seorang kakak menjangka yang saya telahpun berkahwin dan mempunyai anak!
Biar betul akak ni.. Hahaha. Saya mungkin memerlukan wardrobe makeover barangkali.Alhamdulillah. Hari ini indah. Mungkin akan lebih indah sekiranya MU dapat ke Final FA CUP.
Mohon dengan sangat
Salam hormat.
